RAMLEE AWANG MURSHID adalah satu nama besar yang tak perlu aku perkenalkan lagi. Berbeza dengan lapangan sastera, RAM adalah seorang penulis dalam genre psiko-thriller yang menjadi kegilaan para pembaca yang menggemari novel jenis ini. Aku mula berkenal dengan buku RAM pada tahun 1999 selepas membaca novel antara yang pertama beliau bersama Alaf 21 yang berjudul Ranggau. Ketika itu aku baru melangkah ke tingkatan 1. Sebaik sahaja usai membaca, ia terus menangkap hati aku untuk jatuh kaseh pada hasil tukangan saudara Ramlee ini.
Aku menghadam MANDATORI selepas selesai dengan Ranggau. Ahai! Apa yang boleh aku katakan tentang Mandatori? Ia adalah sebuah naskhah yang benar-benar menggongcang jiwa. Ewah! Aku suka pada plot yang begitu kemas, digarapkan oleh penulis sehingga sangat memukau seorang remaja yang baru berusia 15 tahun ketika itu. Aku sebenarnya cemburu (dan geram) dengan lambakan buku-buku dalam genre ini di luar negara. Sayangnya, aku kurang gemar menelaah novel dalam bahasa Inggeris disebabkan oleh kegagalan aku menghidupkan imaginasi jika membaca dalam bahasa ini. Sedih, kan?
Dengan mudah, RAM menjadi penulis kedua pilihan aku pada ketika itu selepas Usman Awang.
Kalau tak salah, pada zaman itu (1999-2003) RAM masih lagi belum meletup-letup macam bertih jagung semacam sekarang. Hanya selepas beliau mengarang lagenda Sunan dalam buku pertama (daripada 8 buah buku dalam lagenda ini, termasuk satu campuran bersama watak-watak utama beliau yang lainnya dalam Magis) yang berjudul Bagaikan Puteri, barulah beliau menjadi kegilaan ramai yang terus mekar dikenali. Ini bukan auta. Kebanyakkan peminat RAM yang baru aku kenali, 80% daripada mereka menjawab Bagaikan Puteri adalah karya RAM yang paling disukai. Kalau bukan Bagaikan Puteri pun, pasti salah satu daripada 8 buku Sunan. Bila ditanya tentang ADAM atau trilogi Tombiruo misalnya, mereka kurang tahu. Satu perkara yang buat aku rasa menyampah, sejak meletup-letup laksana mercun padi dengan lagenda Sunan ini, buku-buku beliau terus jadi mahal gila! Ceh, tahulah penulis dah terkenal dan jadi fenomena, terus Alaf 21 ambil kesempatan untuk mahalkan harga buku yang dulunya RM 19.90 (tambah diskaun 3 buku RM 50 masa di Pesta Buku) sekarang sudah mencecah RM 23 (dan dah tak ada diskaun masa Pesta Buku).
Macam-macam hal.
Kembali kepada Mandatori. Ini adalah novel yang ditulis ketika gaya penulisan RAM masih segar dan tidak dipengaruhi emosi Sunan (sehingga tergamak menulis sehingga 8 buah novel tentang lelaki ini!). Plot disusun dengan kemas dan cantik sehingga mampu memberikan kejutan kepada pembaca (baca : aku). Ada beberapa perkara yang kurang aku persetujui, namun hei! Itu pilihan penulis, dan sebagai pembaca, aku menghormatinya.
Tirai Mandatori dibuka dengan pembunuhan kejam mantan ketua hakim yang baru sahaja pulang dari majlis perpisahan yang diadakan bersempena dengan persaraan beliau. Berita itu cukup menggegarkan negara kerana mereka sedar ada pihak yang sedang melancarkan perang kepada sistem perundangan negara. Watak pembunuh nombor wahid kesayangan kita semua, Carlos, adalah lelaki yang penuh misteri. Siapa Carlos yang sebenarnya? Kita sangka dia seorang 'haiwan' ganas dan liar yang sentiasa laparkan darah. Namun kita jadi bingung apabila melihat dia membantu Sherry, gadis malang yang sanggup menyerahkan kegadisannya pada lelaki pengecut, Kelvin, yang termasuk dalam 'senarai bunuh' Carlos.
Untuk apa Carlos membunuh? Apa dosa mereka yang berada dalam 'senarai bunuh' Carlos? Lelaki ini sedang menjadi penguam bela, pendakwa raya, saksi, bukti dan hakim sendiri. Hanya dia yang berkuasa di dalam mahkamah keadilannya. 'Senarai bunuh'nya pula adalah pesalah yang sedang menanti hukuman. Malangnya, hukuman yang dijatuhkan Carlos hanya satu...
Mati Mandatori!
Thrill tak? Ahai! Kalau kau termasuk dalam kalangan pembaca yang suka dipeningkan, Mandatori adalah pilihan yang terbaik. Psikologi watak, permainan plot, latar tempat dan latar masa dalam cerita ini berbingkai-bingkai. Kau harus memerhatikan segalanya dengan teliti untuk memahami apa yang terjadi. Amran yang malang, Bogart yang tangkas dan gilakan harta, Norman yang mencintai Juliana dan Lebai Piut yang sedang menghabiskan sisa-sisa usia dengan mencintai ALLAH SWT. Carlos hadir di kalangan mereka dan cuba membawa mereka berperang dengan musuh-musuh abadinya yang telah menghantar Tassan, sang supir yang alim, ke tali gantung atas tuduhan mengedar dadah sedangkan semua orang tahu lelaki itu tidak bersalah. Semuanya gara-gara dia tertangkap basah bersama sejumlah dadah yang tersorok di dalam bonet kereta majikannya semasa sekatan jalan raya. Apa pula kaitan Tassan dengan Carlos?
Kalau kau jenis yang teliti, kau sebenarnya akan dapat membuat kesimpulan dari awal pembacaan lagi. Namun bersama RAM, aku suka membebaskan minda dengan tidak meneka apa-apa. Itu lebih seronok. Dalam masa yang sama, aku tetap gemar mengalisa setiap fakta kes, cuma tidak membuat sebarang kesimpulan. Itu saja.
Untuk pembaca di luar sana, buku-buku terawal RAM memang seronok dibaca. Ia mengujakan. Selain Mandatori dan Ranggau (dan judul-judul yang dah aku sebutkan di atas), aku kuat menganjurkan kau baca Rahsia Perindu, Hatiku di Harajuku dan Ungu Karmila. Buku-buku RAM yang lainnya juga tetap seronok dibaca. Cuma ini adalah judul yang teratas dalam senarai aku.
Penulisan seorang Ramlee Awang Murshid ada keistimewaan yang tersendiri. Setiap karya yang ditukangi beliau memberikan suasana yang berbeza-beza. Ungu Karmila lebih mistis (sehingga aku keliru pada awalnya, adakah RAM sudah beralih kepada novel angker? Hahahaha, padahal tidak!), Rahsia Perindu sangat mind-fuck, Tombiruo membawa kita ke hutan dan permainan sains+mistis, ADAM lebih ekstrem dalam usaha melawan kuasa besar, Rayyan Fantasi terbang ke dalam minda alien Spielberg, Hatiku di Harajuku menyelami dunia Yakuza-Samurai yang penuh maruah dan darah, Sembilan Nyawa menyentuh kepercayaan tabu yang mengatasi daya intelek manusia, serta Lagenda Sunan yang membawa kita berada dalam transisi masa kini-masa lampau-masa depan serta alam keperwiraan islami yang sungguh mengesankan. (Sekadar menyebut beberapa judul)
Kesilapan terbesar RAM adalah Satu Janji. Sehingga ke hari ini aku masih tak percaya yang Satu Janji ini adalah salah satu daripada hasil karya beliau. Sungguh, kalau berpeluang bersua muka dengan beliau, perkara pertama yang ingin sekali aku tanyakan adalah apa yang beliau fikir semasa menulis Satu Janji? Ahai!
Apa pun, selamat membaca kamu di luar sana. Mandatori adalah hidangan yang segar dan mengujakan.
Fin.