Friday, August 13, 2010

Lagi Cerpen-Cerpen Underground


INI adalah sebuah naskah yang fuh!!! Itulah gambarannya. Pertama kali membacanya aku jadi termenung panjang. Otak bekerja keras untuk memahami dan menterjemahkan karya ini. Lagi Cerpen-Cerpen Underground adalah hasil kolaborasi antara seorang penulis muda yang lantang dan hebat membawa kita kembara dalam alam imaginasi bersaur realiti (cth : Advancer Si Peniup Ney, Manikam Kalbu dll) bernama Faisal Tehrani dan juga seorang penulis yang baru dalam kamus bacaan aku, masih kurang aku mesrai bernama Saharil Hasrin Sanin. Khabarnya koleksi ini adalah versi yang kedua diterbitkan. Yang pertama kalau tak salah, kolaborasi Faisal bersama Azman Hussin. Malangnya edisi pertama ini gagal untuk aku kesan.

Terdapat enam belas buah cerpen di dalam antologi ini. Kesemuanya ditulis secara luar biasa pada penilaian aku. Luar biasanya adalah melalui gaya penceritaan yang santai namun cukup menyengat! Mengambil kata-kata dari Sasterawan Negara Usman Awang yang berbunyi;

"Jangan diam! Seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap!"

Lalu kedua orang ini benar-benar menulis dengan menyatakan sikap. Pertama kali aku mendengar istilah cerpen haiku (dikatakan). Hal ini keranta cerpen ini sungguh pendek, betul-betul pendek. Namun isu yang disampaikan jelas dan difahami jelas dalam medium yang begitu terhad! Tahniah diucapkan kepada penulis (saudara Saharil).

Kegemaran aku melalui Faisal adalah 'Lara Budak Uranus' dan 'Pisang' (yang lain pun gemar tapi ini yang paling gemar!). 'Lara Budak Uranus' mengambil kisah seorang sasterawan yang berusaha untuk memampuskan sastera dan kemanusiaan di dalam karyanya kerana terlalu kecewa dengan khalayak yang tidak pernah mahu mengambil kisah tentang semua itu. Dia mula menjadi 'pelacur bahasa' yang menganyam sebuah naratif sampah yang picis. Ternyata walaupun seluruh dunia sastera menghentamnya, seluruh dunia remaja pula mula menjadikan dia sebagai idola. Sekelip mata dia menjadi fenomena. Kehidupannya berubah. Namun pada penghujung cerita, dia mulai sedar bahawa karya yang mengenyangkan perut ternyata gagal mengeyangkan jiwa. Dia bangkit dari dunia hipokrit khalayannya lalu memulakan semula langkah untuk memperjuangankan keindahan sastera dan menjulang kemanusiaan di dalam karyanya. Cerpen ini menurut aku sungguh kena dengan situasi seorang penulis hari ini. Bagaimana seorang penulis sastera sedang bergelut dengan dunia yang lebih menyanjung novel popular yang tidak mengandungi apa-apa seperti makanan segera yang enak tetapi ternyata tidak berkhasiat.

'Pisang' mula sebuah satira yang sungguh tajam menikam dunia politik hari ini. Aku cukup suka! Tak banyak yang mahu aku ulas di sini mengenai cerpen ini kerana aku mahu kalian membacanya sendiri dan menikmatinya seperti aku! Huhuhu...

Melalui Saharil pula, aku suka cerpen 'Lama' dan 'Baru'nya. Kedua cerpen ini boleh dikatakan sebagai prekuel dan sekuel. Ketika awal membaca 'Lama', sumpah sungguh aku tidak menyangka ia adalah sambungan kepada 'Baru'. Hanyalah pada ketika watak utama itu pergi ke majlis pengkebumian kekasih kepada kawan kerdilnya yang kebetulan kenalan kepada bekas sahabat baiknya (yang menyebabkan seluruh hidupnya berubah) barulah aku tersedar. Kagum! Ceritanya mudah... gaya bahasanya santai. Sebenarnya aku jatuh suka dengan karya Saharil kesemuanya. Ada yang kurang aku fahami seperti 'Elektrohabitat', tapi itu bukan alasan. Karya beliau sungguh berbeza dari sudut yang berbeza pula dengan karya-karya yang pernah aku kuliti sebelum ini. Ada kepuasan yang lain pada karya beliau!

Lain2 cerpen yang berjaya membuatkan aku termenung panjang dan tergelak-gelak adalah, 'Kulat' (sebuah sinikal menyindir dunia hiburan dan artis murahan serta skandal dengan orang kaya ternama), Pasu, 'Momok Yang Pesimis', 'Memberontak Menggunakan Alkali' dan 'Demokrasi Slapstik' (keempat2 ini adalah cerpen yang sungguh pendek itu) dan Anak-Anak Bumi Tercinta (sebuah cerpen yang sungguh ganas!).

Penuh sinikal, penuh satira dan penuh segala-galanya menyebabkan karya ini terpilih sebagai koleksi kesayangan aku! Sila dapatkan di pasaran. Bagi mereka yang tidak begitu faham bahasa sastera yang tersusun dan memeningkan, aku kira kalian sesuai membaca karya ini. (^_^)

"Dalam beberapa ketika suara orang muda yang tak terdengarkan, terbenam di bawah bumi tentunya sebahagian dari sastera minoriti. Sastera begini penuh kritik, satira dan ideologi. Sastera bawah tanah begini adalah sastera yang 'popular' dalam kerangka tersendiri. Ditampilkan pelbagai warna manusia, lekuk cerita, ceruk latar, sudut fahaman yang terkutip sepanjang perjalanan. Pada sesetengah ketika sejarah, ramalan masa hadapan, sindiran, kehidupan gelap, penampilan yang songsang dipapar supaya dijadi teladan. Sebahagian keadaan terasa keterlaluan terutama pada karya-karya Saharil dan terasa terlalu imaginatif pula pada kerja-kerja Faisal namun masih ada lapis pengajaran yang perlu digali serta fakta untuk direnungi." (LCCU : Saharil dan Faisal)