Friday, April 15, 2011

Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril


INI adalah kompilasi cerpen pertama hasil tukangan penulis berbakat kesayangan aku bernama SM Zakir yang aku khatam. Melalui naskah inilah, aku mengenal Zakir dan seterusnya langsung jatuh cinta pada penulisan dan karya-karyanya. Kredit terima kaseh kepada saudara 'Benua Suluk' kerana telah meminjamkan harta karun beliau kepada aku sehingga aku berjaya mengenal karya Zakir. Usai membaca 'Sekuntum Kembang Disayap Jibril', aku gigih mengulang 'Merengkuh Langit' (yang membuat aku demam dan muntah dalam proses menghadamnya), 'Sekeping Roh Di Atas Bantal' (yang lebih manis lembut), 'Menyirat Nirmala' (lebih seimbang) dan seterusnya kumpulan puisi beliau yang cukup mengesankan iaitu 'Memburu Malaikat' (hadiah yang amat bermakna, terima kaseh guru!). Yang terbaharu, 'Serigala Dan Sekuntum Tulip'.

Hari ini aku cuma mahu mengulas 'Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril' sahaja kerana ia adalah yang pertama untuk aku. Dan yang pertama selalunya lebih istimewa!

Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril dilahirkan untuk melihat kebenaran-kebenaran yang luas, yang merangkumi alam realiti dan alam non-realiti. Cerpen yang diangkat menadi tajuk itu sendiri adalah keutuhan dan kesepaduan tentang jihad dalam menghidupkan kebenaran Islam yang syumul. Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril memuatkan 21 buah cerpen S.M. Zakir yang ditulis antara tahun 1994 - 2001. Cerpen-cerpen ini boleh dilhat sebagai period kedua proses pengkaryaan S.M. Zakir selepas kumpulan cerpennya di dalam Merengkuh Langit. Kumpulan cerpennya kali ini memperlihatkan bentuk-bentuk matang karya S.M. Zakir yang lebih berhati-hati dalam penggunaan bahasa dan estetika sastera. Walau bagaimanapun, S.M. Zakir masih mengekalkan keseriusan karya-karyanya lewat tema-tema falsafah dan alam di luar akal yang berada di dalam mahupun di luar jalur fikir realiti.
( ihsan dari google (sinopsis))

Antara 21 buah cerpen ini, aku telah memilih sebanyak 4 buah cerpen untuk diulas berdasarkan kepada satu persamaan jelas yang dapat dikesan dalam kesemua cerpen ini. Dalam keempat-empat buah cerpen karya S. M. Zakir ini, penilaian kasar yang dapat dikesan ialah kehadiran nilai-nilai romantisisme yang bergerak seiring dengan kekuatan idea cerita dan gaya bahasanya.

Walaupun keempat-empat buah cerita ini bertitik tolak daripada jalan cerita dan latar yang cukup berbeza; Syair Bunga Dan Pasir mengisahkan putera Arab yang menuntut bela di atas kematian ayahandanya, Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril menceritakan tentang Nizami, karyanya dan perjuangannya di Grozny, Cinta Si Pemain Pedang membawakan khalayak kepada Saf, lasykar si pemenggal kepala, manakala Cinta Sekerdip Embun pula mencipta kelainan dengan mimpi indah seorang lelaki bernama Mohd Qais, namun apa yang jelas walaupun ianya mempunyai misi dan tujuan tersendiri, persamaan yang jelas ketara dapat dikesan ialah setiap satu daripada cerpen-cerpen ini, ia diselitkan dengan kisah percintaan romantis watak-watak utama. Cinta Imru’ al-Qais dengan Unaizah, kasih Saf dan Hasya, sayang Nizami buat Najwa dan juga rindu Mohd Qais kepada Laila dikira berjaya menyentuh khalayak dengan emosi terharu.

Walaupun keempat-empatnya kisah cinta agung ini membawa kepada kesudahan yang cukup tragis, namun kisah tragis itulah yang berjaya membawa kesan emosi yang cukup berkesan kepada khalayak. Penyelitan unsur-unsur percintaan ini antara lainnya berfungsi sebagai daya tarikan kepada khalayak yang membaca. Walaupun ianya kisah cinta dan cerita cinta biasanya dianggap klise, namun pengarang berjaya melahirkan karya-karya cinta yang berjiwa baru dan kuat. Bahasa yang digunakan juga beraroma segar dan kaya dengan nilai-nilai estetika.

Perkara-perkara inilah yang telah menjadikan cerpen-cerpen ini segar dan berjiwa baru walaupun menyelitkan kisah cinta di dalamnya selain jalan ceritanya yang kuat. Selamat membaca!