Saturday, September 15, 2012

Chandramukhi


INI merupakan sebuah filem Tamil. Huhuhu. Sesungguhnya aku memang melayan semua jenis filem tidak kiralah ia memainkan bahasa yang berbunyi bagaimana. ^_^ Apa yang menariknya tentang filem yang memakai judul Chandramukhi ini adalah ia merupakan sebuah kisah angker vs sains. Seperti yang pernah aku katakan pada entri yang lalu (Sleepy Hollow), aku memang teruja dengan sesuatu seperti itu.

Chandramukhi telah mula ditayangkan di India sekitar 14 April 2005, dan terus mencatatkan rekod tontonan box-office. Sehinggalah pada 25 Jun 2007, filem ini terus mencatatkan rekod sebagai filem yang paling lama ditayangkan. Dibintangi oleh teraju utama 'Superstar' Rajnikanth dan Jyothika, Chandramukhi mengambil kisah tentang dendam lama, pertelingkahan keluarga kerana hal perkahwinan, sejarah keturunan yang berdarah dan dosa silam yang terpaksa ditebus oleh generasi pada hari ini. 

Aku tertarik kerana terdapat dua kisah yang berjalan serentak di dalam filem ini. Pertama, kisah hari ini di antara Senthilnathan yang telah mengahwini Gangga, sekaligus menentang dan mewujudkan permusuhan dalam diam antara dia dengan keluarga Akhilandeshwari kerana gagal menunaikan janji untuk mengahwini Priya. Kedua, kisah 100 tahun lalu di antara Chandramukhi, seorang penari yang dikahwini (baca : dijadikan gundik) secara paksa oleh King Vettayan. Chandramukhi telah berhubungan sulit dengan kekasihnya (yang juga penari) dan berjaya ditangkap basah oleh King Vettayan. Sang kekasih dipenggal kepala dan Chandramukhi dibakar hidup-hidup. Di ambang kematian, penari yang jelita itu telah bersumpah akan membalas dendam. Sebagai hubungkait, King Vettayan adalah moyang poyang kepada Senthilnathan. 

Segalanya bermula apabila Senthilnathan membeli kembali istana lama King Vettayan (yang menempatkan abu dan sumpahan Chandramukhi) demi mengembalikan kembali kenangan silam keturunannya yang penuh gemilang, dan juga demi memulakan hidup barunya bersama Gangga. Tanpa diketahui Senthil, Gangga mempunyai rekod sakit psikiatri. Sakitnya datang kembali bergabung dengan rasukan roh Chandramukhi yang masih mahu melunaskan dendamnya walaupun telah menjadi abu. Saravanan (diperankan oleh Rajnikanth), seorang pakar psikiatri merangkap sahabat akrab Senthil bertanggungjawab menyelamatkan Gangga daripada amukan roh Chandramukhi dengan menggabungkan kaedah sains dan kepercayaan agama. Menarik!

Antara kisah belakang tabir yang menarik untuk aku kongsikan ialah filem ini merupakan sebuah filem remake arahan sutradara P. Vasu. Salah sebuah lagu yang menjadi runut bunyi di dalam filem ini yang berjudul Athinthom telah dirakamkan di Turki, mencatatkan sejarah sebagai filem Tamil pertama yang meramkan lagu di sana.

Kisah belakang tabir untuk aku pula, pertama kali aku menonton filem ini adalah sekitar tahun 2006 (kalau tak silap) semasa aku menumpang tinggal di rumah salah seorang teman akrabku. Bahagian yang menariknya ialah, rumah teman aku ni memang unik, antik dan sangat sesuai dengan selera gothic aku. Huhuhu. Jadi, perasaan menonton filem seram begini semasa tinggal di sana, adalah suatu hal yang cocok, memberi kesan emosi mendalam dan masih aku kenang sehingga ke hari ini. Lagu terkenal yang paling berpuaka dalam Chandramukhi berjudul Raa Raa (yang bermaksud 'marilah') sungguh terasa menyeramkan. Aku cadangkan, sila tonton filem ini untuk merasakan pengalamannya sendiri. Waktu cadangan untuk menonton ialah lewat tengah malam, seorang diri dan dengan lampu yang dimatikan. Cabar potong kuku, aku pasti korang akan merasai kehadiran Chandramukhi bersama gelang kakinya yang memainkan irama loceng. Muhahahahaha!

Gangga semasa dirasuk roh Chandramukhi! Raa... raaa...

Wednesday, September 12, 2012

Suami & Isteri

Cover unik dari Fixi. Tahniah! Sumber http://fixi.com.my/

INI merupakan suatu hal yang agak unik untuk aku. Huhuhu. Kerana untuk pertama kalinya aku akan buat review berkembar. Lewat kebelakangan ini, aku semakin tertarik dengan 'Fenomena Fixi'. Mungkin ramai yang sudah lama mengenali dan memesrai buku-buku Fixi. Untuk aku sendiri, secara paling jujur aku akui setakat entri ini ditulis, aku baru khatam menyelesaikan hanya 4 buah buku penerbit cool yang mengetengahkan Pulp Fiction sebagai sendi mereka ini. 4 buku tersebut adalah yang pertamanya Bisik (karya saudara Syaihan Syafiq), diikuti dengan Zombijaya (karya penuh advencer + mereng + cool dari saudara Adib Zaini, cerita asal MJ Woo), kemudian SUAMI dan diikuti rapat oleh ISTERI.

Secara ringkas, sekitar Disember tahun lalu aku masih belum pernah dengar nama Buku Fixi ni apatah lagi mengenali karya-karyanya. Sepatah haram juga aku tak tahu apakah kejadiannya Pulp Fiction 'tu. Hanya selepas bertugas di Pesta Buku dan bergaul rapat dengan orang-orang tertentu, barulah aku kenal seterusnya tertarik dengan Buku Fixi 'ni. Kalau sesiapa memesrai aku, diorang mesti tahu yang aku sesungguhnya adalah penggelumang Sastera. Tapi fitnah yang berbunyi, aku anti buku pop tu sebenarnya separuh betul. Kalau setakat cerita cinta 1001 segi tergolek tepi longkang, memang aku 'boo' layan. Tapi kalau buku-buku yang bergenrekan suspen thriller, misteri, berinformasi dan tidak membodohkan aku, itu aku suka! Masa kecik-kecik, ke hulu hilir aku angkut buku-buku 3 Penyiasat (kalau korang pernah bacalah. Jalil, Gopal dan Ah Meng : Kami menyiasat apa saja!). Sampai naik hafal.

Bisik aku sambar masa Pesta Buku PWTC. Terus-terang cakap, cerita ni masih terlalu mentah dan lemah dari segi pembinaan plot, watak dan konflik. Percubaan yang baik dari saudara Syaihan. Aku puji usaha beliau untuk menulis. Aku habiskan buku ni dalam masa 2 jam dan kemudian aku letak balik kat rak. Tak ada kepuasan. Aku harap beliau akan lebih teliti dan berusaha secara mantap untuk buku yang ke2. Zombijaya pulak aku rembat masa Pesta Buku SACC. Walaupun plot dan konfliknya memang fiktif habis, tapi aku seronok baca buku nih! Aku bagi pujian penuh kepada pengarang kerana sangat menjaga psikologi watak-wataknya dengan baik. Mantap. Aku separuh mereng masa membaca.

Baik, kita sampai ke hidangan utama. Suami dan Isteri. Aku beli buku ni Sabtu lepas di Kinokuniya KLCC. Aku memang suka dengan buku ni!!! Kedua-dua buku ini sebenarnya adalah buku terjemahan dari Indonesia, hasil karya penulis misteri antara yang paling terkenal iaitu saudara S. Mara GD. Terjemahan dilakukan dengan baik oleh saudara Nabila Najwa. Tahniah buat beliau kerana berjaya mengekalkan suasana asal di mana hal ini jarang dilakukan oleh penterjemah yang lain.

Pertamanya, SUAMI. Aku selesai membacanya pada Ahad. Mengambil kisah Maryati yang berasa seperti Cinderella moden kerana berjaya menakluki jejaka tampan dan kaya lalu menjadi Puan Supriyadi Cokronegoro. Malangnya, misteri kematian isteri pertama Supriyadi iaitu Lili Handoko yang tidak pernah terungkap terus menghantui rumahtangganya seperti puaka yang tidak terhalau. Seterusnya, kematian Esther Rumilah yang giat menyiasat hal misteri ini juga tambah menderitakan Maryati. Siapakah sebenarnya suaminya? Adakah si psiko yang sanggup menebas nyawa manusia demi wang ringgit dan menutup rahsia? Atau sekadar mangsa yang dijadikan kambing hitam oleh manusia yang penuh dengan amarah dan iri tamak haloba? Huhuhuhu. Serius, aku berasa teruja. Sepanjang membaca, otak aku bekerja untuk menyelesaikan misteri dan menebak siapakah pembunuh yang sebenarnya. Ada dua misteri dalam Suami. Pertama, apakah sebenarnya yang terjadi kepada Lili Handoko? Dan kedua, siapakah yang membunuh Esther Rumilah? Pada mulanya aku syak, kedua-dua kejadian ini melibatkan individu yang berbeza. Tapi pada pembacaan yang berbaki lagi suku, aku akhirnya berhasil membuat kesimpulan dan meneka siapa Si Pembunuh. Apabila mendapati tekaan aku tepat, wah! Satu ledakan sensasi dapat aku rasakan memenuhi pembuluh darah. Satu kepuasan yang maksima. Jalan ceritanya ringkas, tapi bijak bermain dengan emosi pembaca. Ada bahagian yang boleh diperkemaskan lagi tapi memandangkan ini adalah karya rentas dekad, maka aku boleh menerima kekurangannya. 

ISTERI. Aku sedikit kecewa. Sedikit saja. Huhuhuhu. Permainannya tidak sebaik Suami. Namun begitu, aku masih terasa tercabar untuk mencerakinkan apa sebenarnya yang terjadi di sebalik kematian bekas model terkenal alias isteri kepada Yanis Sumbaga iaitu Alma Dolores (atau Alma Sumbaga). Alma ditemukan dengan pergelangan nadi yang terpotong, menguatkan dakwaan bahawa dia mati membunuh diri. Apatah lagi selepas pembaca mengetahui tentang hubungan sulit Yanis Sumbaga bersama pelakon yang baru nak 'up' dari Jakarta. Mungkin dia kecewa kerana bakal diceraikan. Tidak! Sudah pastilah si Alma ni telah dibunuh. Persoalan klisenya, siapakah si pembunuh? Secara jujur, aku lebih teruja dengan Suami. Isteri agak melankolik dan terlalu perlahan rentaknya. Tidak pantas dan kurang mendebarkan. Namun begitu, aku tetap menikmati waktu-waktu tidurku yang aku korbankan untuk menghadam Isteri.

Untuk Fixi, aku sangat berharap anda akan terus menterjemah dan menerbitkan kembali buku-buku S. Mara GD yang lain. Aku memang suka. Biarpun ada ramai mulut-mulut yang merendahkan mutu karya terbitan anda dan mengkastakan penggunaan bahasa yang anda gunakan tetapi tak mengapa. Itu adalah satu cabaran yang perlu anda sahut demi membuktikan pegangan anda tidak bersalahan. Buku Fixi memang unik. Anda punya imej yang kuat. Tahniah! Huhuhu. Aku memang suka merepek. Apa pun, selamat membaca semua!