Saturday, September 15, 2012

Chandramukhi


INI merupakan sebuah filem Tamil. Huhuhu. Sesungguhnya aku memang melayan semua jenis filem tidak kiralah ia memainkan bahasa yang berbunyi bagaimana. ^_^ Apa yang menariknya tentang filem yang memakai judul Chandramukhi ini adalah ia merupakan sebuah kisah angker vs sains. Seperti yang pernah aku katakan pada entri yang lalu (Sleepy Hollow), aku memang teruja dengan sesuatu seperti itu.

Chandramukhi telah mula ditayangkan di India sekitar 14 April 2005, dan terus mencatatkan rekod tontonan box-office. Sehinggalah pada 25 Jun 2007, filem ini terus mencatatkan rekod sebagai filem yang paling lama ditayangkan. Dibintangi oleh teraju utama 'Superstar' Rajnikanth dan Jyothika, Chandramukhi mengambil kisah tentang dendam lama, pertelingkahan keluarga kerana hal perkahwinan, sejarah keturunan yang berdarah dan dosa silam yang terpaksa ditebus oleh generasi pada hari ini. 

Aku tertarik kerana terdapat dua kisah yang berjalan serentak di dalam filem ini. Pertama, kisah hari ini di antara Senthilnathan yang telah mengahwini Gangga, sekaligus menentang dan mewujudkan permusuhan dalam diam antara dia dengan keluarga Akhilandeshwari kerana gagal menunaikan janji untuk mengahwini Priya. Kedua, kisah 100 tahun lalu di antara Chandramukhi, seorang penari yang dikahwini (baca : dijadikan gundik) secara paksa oleh King Vettayan. Chandramukhi telah berhubungan sulit dengan kekasihnya (yang juga penari) dan berjaya ditangkap basah oleh King Vettayan. Sang kekasih dipenggal kepala dan Chandramukhi dibakar hidup-hidup. Di ambang kematian, penari yang jelita itu telah bersumpah akan membalas dendam. Sebagai hubungkait, King Vettayan adalah moyang poyang kepada Senthilnathan. 

Segalanya bermula apabila Senthilnathan membeli kembali istana lama King Vettayan (yang menempatkan abu dan sumpahan Chandramukhi) demi mengembalikan kembali kenangan silam keturunannya yang penuh gemilang, dan juga demi memulakan hidup barunya bersama Gangga. Tanpa diketahui Senthil, Gangga mempunyai rekod sakit psikiatri. Sakitnya datang kembali bergabung dengan rasukan roh Chandramukhi yang masih mahu melunaskan dendamnya walaupun telah menjadi abu. Saravanan (diperankan oleh Rajnikanth), seorang pakar psikiatri merangkap sahabat akrab Senthil bertanggungjawab menyelamatkan Gangga daripada amukan roh Chandramukhi dengan menggabungkan kaedah sains dan kepercayaan agama. Menarik!

Antara kisah belakang tabir yang menarik untuk aku kongsikan ialah filem ini merupakan sebuah filem remake arahan sutradara P. Vasu. Salah sebuah lagu yang menjadi runut bunyi di dalam filem ini yang berjudul Athinthom telah dirakamkan di Turki, mencatatkan sejarah sebagai filem Tamil pertama yang meramkan lagu di sana.

Kisah belakang tabir untuk aku pula, pertama kali aku menonton filem ini adalah sekitar tahun 2006 (kalau tak silap) semasa aku menumpang tinggal di rumah salah seorang teman akrabku. Bahagian yang menariknya ialah, rumah teman aku ni memang unik, antik dan sangat sesuai dengan selera gothic aku. Huhuhu. Jadi, perasaan menonton filem seram begini semasa tinggal di sana, adalah suatu hal yang cocok, memberi kesan emosi mendalam dan masih aku kenang sehingga ke hari ini. Lagu terkenal yang paling berpuaka dalam Chandramukhi berjudul Raa Raa (yang bermaksud 'marilah') sungguh terasa menyeramkan. Aku cadangkan, sila tonton filem ini untuk merasakan pengalamannya sendiri. Waktu cadangan untuk menonton ialah lewat tengah malam, seorang diri dan dengan lampu yang dimatikan. Cabar potong kuku, aku pasti korang akan merasai kehadiran Chandramukhi bersama gelang kakinya yang memainkan irama loceng. Muhahahahaha!

Gangga semasa dirasuk roh Chandramukhi! Raa... raaa...