Wednesday, July 16, 2014

Se7en



Seven merupakan sebuah filem psiko-thriller yang membikin jantung berdetup-detap macam mercun padi yang meletup dalam dada. Dibintangi oleh jejaka idaman Angelina Jolie iaitu Brad Pitt, berganding hampir sempurna dengan Morgan Freeman, menyebabkan Seven atau lebih fancy dieja sebagai Se7en adalah filem yang wajib ditonton oleh penggemar genre filem jenis ini.

Ia adalah sebuah filem Amerika yang dikeluarkan pada tahun 1995. Skrip ditukang oleh Andrew Kevin Walker dan diarahkan oleh David Fincher. Bintang-bintang lain yang turun berperan di dalam filem ini bersama Pitt dan Freeman adalah Gwyneth Paltrow, R. Lee Ermey, John C. McGinley, dan Kevin Spacey. 

Kurang lebih, Se7en memainkan kisah David Mills (diperankan oleh Pitt) yang berpindah ke kawasan baru dan William Somerset (diperankan oleh Freeman), yang bakal bersara tidak lama lagi telah digandingkan di dalam kes pembunuhan bersiri yang terlalu sadis. Tujuh pembunuhan ini mencerap pola 7 Deadly Sins iaitu Greed, Glutonny, Wrath, Lust, Envy, Sloth dan Pride. Ia adalah satu misteri yang dirancang dengan teliti dan penghujungnya sedikit meruntun hati. 

Filem ini dikeluarkan di Amerika Syarikat pada 22 September, 1995 dan berjaya meraih keuntungan box office sekitar $ 327,000,000 di peringkat antarabangsa. Ini secara tidak langsung mengangkat Se7en sebagai satu kejayaan komersial, dan menerima banyak menerima ulasan positif.

Ironi antara kes pertama detektif muda (Mills) dengan kes terakhir detektif berpengalaman (Somerset) diadun dengan cukup baik. Kerja keras mereka untuk menyelesaikan pembunuhan yang berlaku pada setiap hari itu meyakinkan penonton. Penonton (baca : aku) ikut serta mengkaji segala fakta kes dan turut sama meneliti senarai suspek untuk memecahkan misteri yang terkandung di dalam kelicikan rancangan si pembunuh. Ibarat membuka 'kotak pandora', Mills menerima celaka yang tidak pernah dijangkakannya.

Filem ini aku tonton pada tahun 2007 semasa mengambil kelas skrip lakon layar di akademi. Sejak kali pertama menonton, aku memang sudah jatuh cinta pada plot dan pelaksanaan yang dikira baik. Jadi, selamat menonton! 

"Let he who is without sin
try to survive...!"