Tuesday, October 14, 2014

La Piel que Habito


FILEM yang diterbitkan pada tahun 2011 ini dibintangi oleh Antonio Banderas (selebriti macho kesayangan ramai) dan bergandingan mantap dengan Elena Anaya serta dibantu oleh Marisa Paredes, Jan Cornet bersama beberapa orang lagi pelakon yang tidak kurang hebatnya. Aku sebenarnya baru sahaja menonton filem ini hanya minggu lepas, dan sepantas itu pula ia menduduki tempat antara yang teratas dalam senarai Filem Wajib Tonton N (FWTN). Kihkihkihkih~ Sebenarnya, tak semua filem, lagu dan buku yang aku senaraikan di laman ini berada dalam senarai wajib aku. Ada sesetengah daripadanya berada di sini kerana rasa kepuasan yang diperolehi ketika menikmatinya.

Berbalik kepada filem yang akan diperkatakan kali ini. La Piel que Habito (atau judul dalam bahasa Inggerisnya berbunyi The Skin I Live In) ini adalah sebuah filem Sepanyol yang membawa genre psiko/thriller yang menampilkan Pedro Almodóvar sebagai pengarah dan penulis lakon layar. Menariknya filem ini diangkat berdasarkan sebuah novel Perancis yang berjudul Mygale dan kemudiannya diadaptasi dan diterbitkan dalam Inggeris dengan judul Tarantula hasil tukangan Thierry JonquetAlmodóvar telah menggambarkan La Piel que Habito sebagai "... a horror story without screams or frights."

Tirai cerita ini dibuka dengan seorang gadis misteri, Vera (lakonan mantap Anaya), yang sedang menjalani satu lagi hari 'biasa'nya di dalam sebuah kamar aneh yang terkunci dan dijaga oleh Marilia, sang pembantu, yang menguruskan semua keperluan asas Vera. Kita berasa aneh melihat Vera yang jelita, hanya memakai satu sut getah yang seakan-akan kulit keduanya. Kemudian, penonton dibawa berkenal dengan sang pakar bedah, Doktor Robert Ledgard (diperankan oleh Banderas), yang sedang membentangkan kejayaan beliau dalam membangunkan artificial skin untuk memulihkan kulit manusia yang terbakar. Di sini, aku mula menyambung titik-titik yang berserakan di antara Ledgard dan Vera. Tebakan awal, Vera adalah gadis yang terbakar teruk kulitnya dan terpaksa menjadi mangsa eksperimen rahsia Ledgard (ini kerana melakukan eksperimen terhadap manusia adalah absurb).

Tebakan ini dikuatkan apabila melihat Ledgard yang memerhatikan Vera secara rahsia ibarat tikus makmal melalui CCTV. Juga, apabila kita menonton babak-babak Ledgard memeriksa kulit mulus Vera dengan teliti, dibantu dengan dialog yang memberi pembayang. Namun, misteri mula timbul apabila babak antara Robert dan Marilia yang berkonfrantasi mengenai wajah Gal (mendiang isteri Ledgard) yang diberikan kepada Vera. Marilia mengingatkan Ledgard bahawa sejarah mungkin berulang dan lelaki itu menepis dengan mengatakan yang Vera lebih kuat berbanding Gal.

Penonton (baca : aku) semakin pening dan diselubungi misteri apabila munculnya Zeca si harimau (semasa ketiadaan Ledgard) di rumah agam itu yang terkejut melihat Vera dan terus sahaja bernafsu lalu memperkosa Vera sambil mengucapkan kata-kata yang aneh. Ini menyebabkan aku sedar yang Zeca menyangka Vera adalah Gal dan ada sesuatu yang berlaku di antara Zeca dan Gal. Reaksi Vera semasa diganasi Zeca juga sangat aneh membikin misteri semakin menyelubungi.

Hero kita (Banderas) pulang dan melihat keganasan itu lalu terus menembak mati Zeca tanpa teragak-agak. Vera dipeluk kemas seakan menyesali kecuaiannya yang menyebabkan gadis itu disakiti. Di sini kita dapat melihat emosi Ledgard sebenarnya sudah memandang Vera sebagai Gal, mendiang isterinya. Penyatuan antara Ledgard dan Vera kemudiannya mengungkapkan rahsia sebenar yang berlaku enam tahun yang lalu. Rahsia ini sangat mind fuck sehingga aku jadi bingung seketika lalu menekan butang pause. Aku perlu beberapa saat untuk bertenang dan memahami apa yang sebenarnya berlaku sebelum menekan kembali butang main. Ini adalah perasaan sama yang aku rasakan ketika membaca Rahsia Perindu (tukangan RAM) pada saat Julia memberitahu siapa sebenarnya Leopard, sang penebas nyawa yang misterius dan kemudian pada saat Amylia, si peguam, jatuh pengsan dan apabila dia bangun, pembaca akhirnya mengenali siapa Maria sebenarnya. Aku sampai berhenti sekejap membaca untuk beberapa saat. Gila tak?

Tapi filem ini lebih gila. Twist dalam sesebuah karya, tidak kira novel atau filem, adalah sesuatu yang wajib dalam genre sebegini. Apabila kita mendapat tahu apa yang berada dalam kotak yang dihantar oleh Pembunuh 7 Deadly Sins dalam filem Se7en misalnya, atau siapa John Shooter yang misterius dan menuduh Mort Rainey sebagai penciplak karyanya dalam filem Secret Window, ataupun siapakah Carlos yang menjadi hakim dalam mahkamah ciptaannya dalam novel Mandatori, kita akan rasa terkejut dan menggeleng-geleng kepala tanda tak menyangka apa yang rupa-rupanya berlaku. Tapi dalam La Piel que Habito, twist yang kau dapat adalah perkara yang terakhir yang memang kau tak jangka akan jumpa. Hahahaha~ over tak? Aku tak tahu tentang kalian, tapi itulah setepatnya apa yang aku rasa.

Siapa sebenarnya Vera? Apa kaitan gadis jelita itu dengan seorang pemuda yang bernama Vicente? Apa pula kaitannya Vera dan Vicente dengan rahsia hitam keluarga Ledgard yang melingkari kehidupan Robert, Gal, Norma (anak gadis Ledgard), Zeca dan Marilia? Haa... sila tonton sendiri untuk mengetahui jawapannya!

Ahaks!

Jangan tak tahu, filem ini telah dipertandingkan di 64th Cannes Film Festival, dan memenangi anugerah Best Film Not in the English Language di 65th British Academy Film Awards. Pengarahnya telah menghadam novelnya selama 10 tahun sebelum mula menulis lakon layar filem ini selepas terpengaruh dengan gaya  Georges Franju dalam Eyes Without a Face dan filem-filem thriller oleh Fritz Lang. Harap kalian semua akan terhibur menontonnya seperti aku.

Fin.

"The things the love of a mad man can do... I breathe. I breathe. I breathe. I know I breathe...!"