Thursday, October 16, 2014

Lantai T. Pinkie


LANTAI T. PINKIE, skrip drama pentas hasil tangan Sasterawan Negara yang ketiga, A. Samad Said yang telah berusia lebih dari satu dekad ini berkisarkan tentang kehidupan T. Pinkie. Bukan sekadar kisah mengenai punggung, Lantai T. Pinkie membawa tema kemanusiaan yang lebih besar dengan membawakan T. Pinkie sebagai teraju utama, seorang gadis yang mewarisi gelaran bangsawan iaitu ‘Tengku’ tetapi bekerja sebagai penari di Bunga Joget Moden. Dihasilkan pada tahun 1996, Lantai T. Pinkie mengambil latar masa sekitar tahun 1952 (di Singapura), 1965 (semasa konfrontasi di Teluk Melano, Sarawak) dan sekitar tahun 1992 (juga di Teluk Melano).

Lantai T. Pinkie membuka tirai dengan watak seorang anak muda berusia 22 tahun, Loiran Sindu yang sedang mencari asal-usul ibunya, Anirah Gonjuloh di Teluk Melano, Sarawak. Dia menemui Muhairi dengan alasan ingin membuat kajian mengenai Hikayat Gul Bakawali yang menjadi kegemaran Muhairi. Namun, pertemuan itu akhirnya membuka kembali bahagian sejarah yang paling terkesan dalam hidup Muhairi. Cerita T. Pinkie, pemilik punggung yang menjadi kegilaan, kisah Nyai Sunarti Renko, yang tidak pernah sunyi dari merindui Tuan Van Klinkert Delarosanya, si penjajah dari Belanda, cerita Jongkidin Jaroi, atau Wak Merdeka yang kehilangan Pawana Tajamnya, tentang Puteh Su Abdullah, orang gaji yang ingin menjadi pelabuhan baru buat nahkoda yang tidak tua kerana usia, kisah S. Diman Lupti, penggesek biola nombor wahid di Bunga Joget Moden yang berlidah petir, cerita Siti Udaya yang bersuamikan nelayan yang tak pulang dari laut, dan paling penting Hikayat Muhairi Tirus, si pemain akordion serta pemuja lantai T. Pinkie yang pernah menjadi heiho habis terbangkit semula yang setelah sekian lama dikuburkan masa. Kisah silam yang tak pernah lenyap diceritakan kesemuanya kepada Loiran, yang merupakan cucu T. Pinkie.

T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Siindahkuno binti Tengku Afraruddin merupakan seorang penari di Bunga Joget Moden. Dia yang lebih dikenali sebagai T. Pinkie (kerana terlalu gemar memakai kebaya berwarna merah jambu), menjadi kegilaan kebanyakan pemuda di situ. Istilah ‘lantai’ dalam drama ini digunakan sebagai medium untuk memberi gambaran jelas kepada khalayak mengenai luas sempit dunia seorang penari joget. Buat Pinkie, lantai jogetnya itu adalah tempat kasut-kasutnya bercerita – menjerit dan merintih. Pinkie menerima kedewasaan melalui lantai itu.

T. Pinkie adalah nama gelaran yang diberikan kepada Tengku Siindahkuno ini. Dia mendapat gelaran Pinkie kerana gemar memakai baju kebayanya yang berwarna merah jambu. Seperti yang diperjelaskan huruf ‘T’ pada pangkal itu bukanlah merujuk kepada ‘Tengku’ sebaliknya merujuk kepada perkataan ‘tonggek’.

Kali pertama membaca buku ini, aku akui yang aku kurang mengerti. Terlalu sukar untuk memahami kecelaruan hidup seorang Pinkie. Dia mempunyai sejarah latar belakang yang bercelaru sehingga hampir menyukarkan khalayak memahami wataknya. Dilahirkan dalam keluarga bangsawan yang membawa gelaran ‘Tengku’, T. Pinkie sendiri tidak memahami mengapa hidup ayahnya, Tengku Afraruddin itu sesusah yang diceritakan ibunya. Namun semakin aku mendalami, semakin aku mengulang baca, aku mula memahami sandiwara apa yang cuba dipentaskan Pak Samad sebenarnya. Ya, aku jadi mengerti jiwa Pinkie.

Penari kerusi nombor tujuh ini menjadikan lantai itu sebagai kehidupannya. Apabila dia dikahwini secara paksa (setelah diperkosa) oleh penggila Johor Sport Club, si Gonjuloh, Pinkie hilang seketika Lantai T. Pinkie. Wataknya muncul kembali selepas dia dijeritkan talak oleh Gonjuloh. T. Pinkie akhirnya meminta Muhairi membawa dia jauh dari pengaruh Gonjuloh. Selepas diselamatkan dan dibawa Muhairi ke Teluk Melano, Sarawak, Pinkie akhirnya mengecapi bahagia. Malangnya, kisah cinta bahagia Pinkie dan Muhairi tidak bertahan lama dan berakhir dengan duka apabila konfrantasi yang melanda Teluk Melano sekitar tahun 1965 telah meragut nyawa T. Pinkie. Kehidupan sebagai penari di lantai joget tidak menjanjikan kehidupan yang bahagia untuk Pinkie. Namun, dia sempat juga merasakan sedikit bahagia pada penghujung hayatnya. Buat T. Pinkie, “... segala-gala di lantai itu menjadi kelambu yang menutup bayang-bayang manusia.” 

Keseluruhan drama ini bukanlah hanya memerankan kisah Pinkie dan Muhairi semata. Kita turut dihidangkan dengan kerinduan Nyai Sunarti Renko pada Tuan Van Klinkert Delarosa, seorang penjajah dari Belanda, penari-penari di Bunga Joget Moden (Musalmah Jing dan Siti Udaya), gadis Cina mualaf bernama Puteh Su, Jongkidin Jaroi S. Diman Lupti dan ramai lagi yang masing-masing mempunyai kisah dan pembawaan diri yang tersendiri.

Dari A. Samad Said, Lantai T. Pinkie bukan sekadar cerita tentang punggung sebaliknya dunia lantai joget yang dikuasai hantu samseng... dunia lantai joget yang menjadi nafas dan nyawa kepada jiwa-jiwa yang menderita. Beliau mengharapkan drama ini bakal menghidupkan satu dunia nostalgia yang bakal bererti juga apabila ianya dipentaskan.

"Yang jelas aku cepat dewasa melalui lantai ini. 
Semakin aku menghentak-hentak kaki di atasnya, 
semakin didengar lantai itu menjawab; 
Engkau bahagia, Pinkie! Engkau bahagia, Pinkie!" - T. Pinkie