Monday, November 17, 2014

Rock


ROCK merupakan sebuah filem tempatan pertama yang aku boleh berikan 4.5 bintang dan ini tidak pernah lagi berlaku sebelum dan selepas (jangan kira filem2 P. Ramlee, itu sudah berada dalam kelas yang tersendiri) filem ini kepada mana-mana filem tempatan yang lain. Maaf cakap, rata-rata filem tempatan yang ada, aku cuma mampu bagi habis tinggi pun 3 bintang sahaja, itupun sama ada filem2 Aflin Shauki, Aziz M. Osman, Mamat Khalid (sekadar menyebut beberapa nama) dan beberapa orang pengarah yang tak kurang hebatnya.

Kenapa Rock begitu hebat?

Suka untuk aku ingatkan kepada para pembaca di luar sana (itupun kalau adalah. Kalau tak ada kira aku ni syok sendiri saja. hahahaha), sebelum aku panjangkan lagi entri ini, apa sahaja yang aku tulis di laman ini adalah bertepatan dengan pandangan aku, tidak berkaitan dengan persetujuan anda. Wink!

Jadi, kenapa Rock begitu unggul di hati seorang aku sehingga mampu meraih 4.5 bintang, menewaskan filem-filem tempatan lain yang pernah dihasilkan sebelum dan selepasnya?

Kerana pengarahnya adalah orang yang faham filem.

Kerana filemnya diperankan oleh pelakon-pelakon hebat yang bermutu.

Kerana keindahan bahasa filem yang ada di dalamnya.

dan paling 'menangkap' sekali, adalah kerana ia klako tak hengat!

Gandingan Hasnol Rahmat (yang memerankan watak Zack @ Zubir), Khir Rahman (memainkan watak Jijo) dan Que Haidar (beraksi penuh cemerlang sebagai Amy Mat Piah) cukup serasi dan menjadi. Jangan tidak, penampilan Norazmi Bahron (sebagai Black) juga tak kurang hebat sebagai pelengkap gandingan ini. Malah, dialog Black yang tak sampai lima ayat untuk keseluruhan filem ini itulah yang paling diingati dan meninggalkan kesan. Perwatakan Black sebagai drummer sengau itu memerlukan Jijo sebagai penterjemah, ini cukup menggelikan hati kerana apabila Jijo kurang jelas dengan perkataan Black, dia cuma akan bertanya:

"Cane?"

Hahahaha~ Hasnol, Khir, Que dan Azmi tak perlu membuat jenaka tak cukup akal untuk membikin khalayak ketawa. Cukup dengan lontaran dialog yang baik dan bersahaja, namun punch dengan plot cerita yang mantap. Malah kalau diperhatikan, riak wajah Hasnol dan Khir misalnya, sentiasa serius. Tapi kita tetap ketawa dengan aksi mereka. Begitu juga dengan kehadiran Zul Kapan (diperankan oleh pelakon berbakat besar sepanjang hayat, Soffi Jikan), vokalis kumpulan Malaikat Maut yang menggerunkan dan menggelikan hati dalam masa yang sama.

Rock mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 08 Disember 2005 dan diarahkan oleh sutradara Mamat Khalid (orang Perok yeop!). Ia mengambil latar masa tahun 2005, kemudian menggunakan teknik imbas kembali ke lewat tahun 1980-an di mana ketika itu anak muda sedang dilanda demam Battle of the Bands. Abam Mamat mengecilkan sedikit skop demam ini dengan mengambil latar tempat di sekitar Perak sahaja. Begitupun, kita seakan dapat menghayati zaman tersebut dengan menonton filem ini.

Ini kisah Rimba Bara. Kisah sebuah band yang hampir terkenal. Kenapa hampir? Kerana sebaik sahaja sebelum mengikat kontrak dengan syarikat rakaman terkemuka di Kuala Lumpur, tonggak utamanya iaitu Zack telah menerima tawaran bekerja sebagai pegawai pos demi niat mengahwini kekasih sedari zaman kanaknya iaitu Khatijah @ Khaty (yang diperankan baik oleh Siti Elizad).

Kecewa Rimba Bara.

Aku paling suka adegan di mana Zack sedang mengecap stem surat tanpa perasaan ibarat robot sambil mendengar lagu rock kapak dan adegan dia berdiri sahaja di hadapan mesin punch-card sambil pekerja-pekerja lain terus punch kad masing-masing tanpa memperdulikan Zack. Dua adegan ini sahaja sudah cukup untuk memberitahu penonton tentang 15 tahun dalam hidup Zack (selepas meninggalkan dunia band dan bekerja di pejabat pos) yang langsung tidak bermakna.

Tahniah, Abam Mamat!

Misi dan wawasan yang sentiasa dilaungkan oleh Jijo, membawa Rimba Bara jauh ke hadapan sehingga Berjaya menjuarai Battle of the Bands peringkat negeri. Kedungu dan kebetul-bendulan Amy Mat Piah yang nyaris menggagalakan Rimba Bara mengakibatkan dia terpaksa 'bersara' dari menjadi vokalis dan menjual ais kacang untuk menyara hidup. Pilihan Zack yang terpaksa mendahulukan keluarga berbanding minat, menyebabkan perjalananan Rimba Bara terhenti sebelum sempat terkenal. Paling penting sekali, sindiran, kritikan dan persoalan yang ditimbulkan oleh Abam Mamat terhadap industri hiburan kita. menjadi inti penting dalam menghidangkan Rock kepada tontonan umum.

Tontolah Rock, dan anda akan faham.

Fin.